salam

Khamis, 9 Februari 2012

Sehari Semalam Bersama Ustaz Hasan al-Banna

Ustaz Hasan al-Banna datang ke Mahlah Kubra. Khemah yang besar telah dipasang di kawasan tanah lapang. Masyarakat dari pelbagai daerah diundang untuk hadir. Para anggota Ikhwan bercakap dengan tema ceramah yang berbeza, kemudian ditutup dengan ceramah Ustaz Hasan al-Banna. Ketika Ustaz Hasan al-Banna hampir menyelesaikan ceramahnya, terjadin satu pergaduhan. Tetapi Ustaz bersama anggota Ikhwan yang lain Berjaya menenangkan para hadirin agar tidak beralih perhatian dengan pergaduhan itu. Beberapa anggota parti Wafd di Mahlah ingin merosakkan majlis yang dianjurkan oleh Ikhwan dengan mencuba menarik perhatian para hadirin kepada pergaduhan tersebut. Dengan berlakunya pergaduhan dalam majlis besar itu, mereka ingin menonjolkan imej yang buruk tentang Ikhwan.

Demikianlah percubaan tipu daya mereka. Akan tetapi, Allah SWT telah mengembalikan tipu daya itu kepada mereka sendiri. Ketika sekumpulan anggota mereka dating ke majlis ilmu yang diadakan oleh Ikhwan sambil memegang tongkat, mereka menjerit dengan kata-kata yang mengandungi maksud permusuhan dan anti Ikhwan. Dalam gimik yang mereka cipta, seharusnya mereka sampai ke pentas utama tempat Ustaz Hasan al-Banna menyampaikan ceramah sambil terus menerus memekikkan ancaman dan cercaan terhadap Ikhwan, hingga mampu memancing tumpuan para hadirin seterusnya membubarkan majlis tersebut secara automatik dengan imej negative masyarakat.

Gimik itu hampir berjaya jika bukan dengan bantuan Allah dan sikap yang ditunjukkan oleh Ustaz Hasan al-Banna saat itu. Ketika Ustaz Hasan al-Banna merasakan perkara tidak baik itu akan berlaku, beliau telah berucap kepada para hadirin: ”Wahai saudaraku, tetaplah di tempat kalian. Demi Allah, kami tidak ingin sama sekali berlaku sesuatu yang buruk terhadap kalian. Kami benar-benar ingin agar umat ini bangkit dari tidur yang panjang. Bersatu dan tidak berpecah. Berpegang teguh dengan tali Allah dan tidak berpecah-belah…”
Ustaz Hasan al-Banna kemudian meninggikan suaranya dan mengucapkan kata-kata yang sangat menyentuh hati dan belum pernah aku dengar sebelum ini: “Sesungguhnya kita ini kuat dengan bantuan Allah, dan tidak akan pernah menjadi lemah dengan pertolongan Allah. Kaya kerana Allah dan tidak pernah jatuh miskin kerana Allah. Kami ingin mendidik umat Islam dengan sikap yang baru yang sesuai dengan nilai-nilai Islam. Kami ingin membina umat dengan akhlak Islamdan membimbing mereka dengan sistem  hidup Islam. Agar umat Islam dapat berjalan di belakang pemimpinnya yang terulung. Pemimpin yang paling mulia, Nabi Muhammad SAW….”

Kata-kata itu sangat menyentuh hati dan menarik perhatian semua yang hadir. Untaian kata yang keluar dari lisan Ustaz al-Banna seperti bom yang yang dikeluarkan dari meriam. Tapi begitu menyejukkan dan mendamaikan hati para pendengarnya. Kata-kata itulah yang menjadikan semua hadirin duduk diam di tempat mereka dan tidak menoleh ke kanan atau ke kiri. Ketika itu, pasukan keselamat Ikhwan segera menghalang perancangan orang-orang yang ingin mengganggu kelancaran perjalanan majlis tersebut. Ikhwan Berjaya membubarkan dan menangkap sebahagian yang daripada mereka. Sementara sebahagian yang lain sempat lari.

Ustaz Hasan al-Banna kemudian meneruskan ucapannya seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku, hingga akhirnya majlis itu bersurai dengan baik. Selepas itu Ustaz Hasan al-Banna bertemu dengan pemimpin-pemimpin masyarakat, para pekerja, mahasiswa, pelajar dan sebagainya. Pertemuan itu memakan masa hingga satu jam sebelum fajar, diselang dengan pelbagai aktiviti ibadah. Ketika itu, Ustaz Hasan al-Banna berkata: “Aku mohon izin untuk berehat sekarang.”

Kemudian beliau masuk ke dalam bilik untuk berehat lebih kurang satu jam. Kemudian aku melihat beliau keluar dari biliknya semula. Aku tidak tahu sama ada beliau tidur atau tidak di dalam biliknya. Orang yang biasa bersamanya mengatakan bahawa Ustaz Hasan al-Banna jika ingin tidur, maka beliau mudah untuk tidur. Aku masih ingat kata-kata beliau berkaitan perkara ini. Ustaz hasan al-Banna pernah berkata: “Jika Allah cinta pada seorang hamba-Nya, maka Allah akan mempermudahkan dia untuk berehat dan tidur ketika dia letih..”

Kemudian Ustaz al-Banna mengimami kami dalam solat subuh. Beliau membaca surah al-Qaaf dalam dua rakaat subuh. Selesai solat, kami terlelap dalam tidur. Kami tidak tahu bahawa Ustaz al-Banna telah diundang oleh Mahlah Abu Ali yang bersebelahan dengan Mahlah Kubra untuk makan tengahri di sana. Kemudian menyampaikan ceramah di salah sebuah masjid.

Kami bergerak ke Mahlah Abu Ali untuk bertemu dengan anggota Ikhwan yang sdeang menunggu ceramah Ustaz al-Banna. Kami kemudian solat Asar di Masjid Abbasi bersama Ustaz al-Banna. Beliau menyampaikan ceramah selepas Asar dan membuka kata-katanya dengan kalam penghormatan kepada ulama-ulama tempatan dan para ustaz disan seperti Sheikh Ahmad Qith dan lain-lain.

Selesai ceramah, Ustaz al-Banna meminta diri kepada para Sheikh dan Ikhwan di Mahlah Abu Ali untuk pergi ke Bilqas, tempat terakhir dalam jadual perjalanan dakwah pada hari itu, kemudian kembali bergerak ke Kaherah meneruskan perjalanan. Begitulah seterusnya. Bergerak, pergi dan pindah. Suatu ketika, aku pernah mendengar beliau berkata: “Kita ini speri orang Arab Nomad yang kerap berpindah-randah dari satu tempat ke tempat yang lain….”

*Petikan daripada buku ‘Aku dan Ikhwanul Muslimin’  tulisan Dr. Yusuf al-Qaradhawi 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Asma'ul Husna

asma ul husna