salam

Rabu, 4 Januari 2012

Ombak Rindu Filem Hot Masa Kini


Saya tidak tahu di mana nak mula. Untuk memilih perkataan dan menyusun ayat terasa sukar. Beberapa lama saya berdebat dengan diri sendiri – perlukah saya menulis tentangnya, apakah isu ini terlalu picisan untuk dikedepankan dalam blog ini, risiko saya akan mengguris hati orang, atau nampak macam extreme dll. Sungguhpun terasa sesak dada ini, namun akhirnya hati saya tetap merasa terpanggil untuk berbicara, kerana saya memandang isu ini berat sekali.


Sekurang-kurangnya saya menukilkan pandangan jujur saya, menyampaikan apa yang saya percaya sebagai sesuatu yang perlu difikirkan bersama insya-Allah.

Baru-baru ini, heboh orang bercerita tentang filem Ombak Rindu, dalam akhbar, dalam YouTube, dalam facebook, memang merata.. baik perempuan mahupun lelaki. Bait-bait kata dari filem itu juga ‘dipinjam’ dijadikan status facebook. Dilaporkan hanya dalam 14 hari sahaja, filem itu mengaut keuntungan mencecah RM 11.2 juta!  Begitu penangannya. Mungkin jalan ceritanya menarik, mungkin kerana novelnya, mungkin itu dan mungkin ini. Biasalah untuk ke layar perak, filem perlu ada daya penariknya. Kisahnya perlu cukup dramatik, pelakon yg mampu membawa watak hingga menggamit rasa sesiapa yang menonton, aksi, adegan dan sebagainya. Kisah seorang ustazah yang menjadi pelacur, kahwin lari, dianiaya, di samping tragedi-tragedi dan krisis jatidiri, krisis keluarga yang lain. Apa yang pasti, ramai terhibur.

Siapa yang tidak suka hiburan? Namun sejauh mana kita boleh bertoleransi dan apa yang sanggup kita korbankan untuk mendapatkan hiburan itu? Saya tidak pelik wang sebanyak 11.2 juta ringgit berterbangan dari poket-poket rakyat Malaysia kerana filem ini. Yang saya terkesima adalah dahsyat sekali tahap keruntuhan moral yang kita sudah terbiasa hingga hati ini sudah tumpul, tidak sensitif lagi, tidak marah lagi, tidak kutuk lagi.



Saya bukan mengomel tentang oh teruknya pelacur, oh dahsyatnya kelab malam, minum arak dan apa-apa budaya yang dipaparkan dalam filem itu. Sudah itu yang menjadi jalan ceritanya. Saya taknak komen sebab tersendiri mengapa pihak filem memilih watak ustazah sebagai heroin, walaupun dalam novel asalnya heroin adalah seorang kerani. Juga taknak membebel tentang gambaran Islam yang sekadar pada tudung dan pasif. Mesej yang cuba disampaikan? Jatidiri? I’ll leave those discussions for another day.

Yang saya terkesima, yang saya tangisi adalah ramainya penonton yang ok saja untuk menonton filem itu, tidak rasa filem itu bermasalah untuk ditayangkan di khalayak. Saya sedia maklum ada banyak filem yang tidak soleh di luar sana – bukan filem barat, tapi filem malaysia. Saya akui kita memang sudah terbiasa tengok banyak benda tak soleh. Tapi…………

Ombak Rindu ni punya tak soleh… adalah tahap EXTREME tak soleh, tak soleh peringkat ranjang atas katil, sebanyak 3 adegan!!! How can we tolerate that?? Adalah 1 kegilaan, bahawa rakyat Malaysia sudah mampu menerima adegan seteruk ini di pawagam dan televisyen-televisyen rumah kita. Kita tak terasa nak pengsan, tak terasa nak cepat-cepat tutup mata, rasa marah, rasa kesal, rasa nak saman, dan rasa tak boleh tolerate filem sebegitu.
Tidak. Masyarakat ramai yang sudah boleh terima.
Buktinya, mereka untung RM 11 juta. Filem ini ditonton segenap lapisan masyarakat tanpa masalah. Status-status facebook tidak banyak pun yang menyesali keberanian pembuat filem memasukkan adegan ranjang yang bertubi, sebaliknya pujian dan sanjungan atas kejayaan filem. Semuanya dianggap lumrah, daya penarik, perlu untuk menghidupkan cerita dan untuk menyampaikan 'pengajaran'.

Saya tidak mahu terlalu negatif, seolahnya tidak nampak adanya kebaikan lagi. Namun, justifikasi kebaikan itu biarlah berpada. Kalaulah diumpamakan dengan makanan, walau berkhasiat, walau nampak sedap menggoda meleleh air liur macam mana pun, mesti kita tak sudi sentuh pun apatah lagi menelannya, kalau kita tahu dalam resepi makanan itu ialah tahi kucing sebanyak 1 gram. Maka apakah yang menyebabkan kita bertoleransi dengan adegan ranjang selama berminit-minit demi menonton filem yang kononnya bagus ?
Alangkah banyaknya perkara yang kita terbiasa…

Kita tidak terkejut lagi melihat berita statistik 1 orang anak luar nikah lahir setiap 17 minit di Malaysia. Kita tidak terperanjat lagi mendengar 50 000 orang remaja Lembah Klang memohon untuk murtad. Dah biasa dengar, tak suprise dah.. selagi tak melibatkan kakak kita, adik kita, sepupu kita, kawan baik kita dll. Setakat lagu-lagu yang mengajak beri kucupan sayang dan belaian kepada kekasih, sebahagian kita memang hafal liriknya. Video game yang pelik atau bergambar seksi.. budak sekolah rendah pun main.
Sungguh proses penghakisan iman ini bukan memakan sehari dua.
Proses menyuntik ubat pelali kepada umat ini bukan memakan seminggu dua.
Kita tidak boleh terus terlena.
Kita tidak boleh bersetuju untuk terus menjadi mangsa keadaan.

Seruan keimanan mesti lebih laju, jika tidak sama laju dengan arus kesesatan yang menenggelamkan.
Amanah ini terletak di atas bahu kau dan aku.
Kerana kita sama-sama hamba Allah.
Kita cintakan umat ini.

1 ulasan:

Asma'ul Husna

asma ul husna