salam

Jumaat, 19 Ogos 2011

Benarkah Saidina Umar Menghukum Anaknya?


Kisah Abu Syahmah, anak Sayyidina Umar r.a. menerima hukuman had (hudud) daripada ayahnya khalifah Umar r.a. kerana telah berzina adalah satu kisah yang tersebar dengan meluas sekali dalam masyarakat Islam di mana-mana jua.  Ia bukan sahaja disampaikan oleh tuan guru-tuan guru, ustaz-ustaz dan pensyarah-pensyarah di dalam ceramah-ceramah atau kuliah-kuliah mereka yang tertutup malah kerapkali juga dikumandangkan oleh khatib-khatib menerusi khutbah-khutbah Jumaat. 

Pada anggapan mereka, inilah salah satu contoh keadilan Sayyidina Umar r.a. yang tiada tolok bandingnya di zaman khilafah beliau.
Tidak pernah terlintas di hati mereka bahawa adunan cerita yang cukup menyelerakan itu sebenarnya himpunan racun atau longgokan najis yang telah disaluti kertas emas yang bersinar-sinar.  Lantaran kenaifan pemikiran dan modal ilmu yang tidak mencukupi, umat Islam berterkaman kepada cerita-cerita seumpama ini.   Usahkan mata orang-orang awam, mata orang-orang alim di kalangan mereka pun tidak dapat menembusi kertas emas yang disalutkan pada longgokan najis itu.  Maka mereka tidak jemu-jemu dengan sepenuh-penuh mulut menjadikannya sebagai modal ceramah.  Aduh malangnya masyarakat Islam!  Ke manakah hilangnya daya pemikiran mereka yang terkenal kritis di suatu ketika dahulu?!  Agaknya ia telah lenyap bersama-sama dengan lenyapnya dan tersisihnya ilmu-ilmu yang dijadikan nilai dan pengukur oleh generasi Islam di zaman lampau.
Kerana terlalu ketinggalan di belakang , mereka tidak lagi mengetahui istilah ‘tabarra’ umpamanya yang merupakan motif utama di dalam banyak kisah-kisah dan cerita-cerita yang  terdapat di dalam sirah dan sejarah awal Islam.
Sebelum pergi lebih jauh elok sekali kita menjelaskan terlebih dahulu istilah ‘tabarra’ itu.  Pengetahuan tentang ‘tabarra’ akan berguna kepada kita sebagai mikroskop.  Kita dapat melihat dengannya sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana tersangat halusnya.
‘Tabarra’ adalah satu konsep yang telah menjadi prinsip dalam gerak kerja musuh-musuh Islam terutama Syi’ah untuk memadamkan cahaya kegemilangan sejarah awal Islam iaitu dengan menyatakan sikap permusuhan dan perasaan dendam kesumat terhadap tokoh-tokoh utama Islam di zaman permulaan sama ada dengan melaknat atau mengutuk mereka dalam majlis-majlis khusus atau seandainya keadaan tidak mengizinkan mereka berbuat demikian secara terbuka, mereka akan meluahkan perasaan jahat itu melalui cereka-cereka atau hikayat-hikayat yang pada lahirnya (menurut apa yang tersirat) adalah satu penghinaan dan cemuhan terhadap mereka.
Sebenarnya musuh-musuh Islam itu telah menggunakan satu method ilmu balaghah dengan mewah sekali dalam cerita-cerita mereka.  Method itu dikenali dengan ‘ta’kidu adz-zammi bima yusybihu al-madha (cela dalam bentuk puji)’.
Sesungguhnya di sebalik tirai keadilan Sayyidina Umar yang dihulurkan dalam rupa kisah ini, mereka mahu membuktikan betapa jahat dan fasiqnya anak khalifah umat Islam Sayyidina Umar r.a. yang dikatakan ‘agung’ itu, di samping mempamerkan juga kejahilan khalifah tentang hukum-hakam agama dan seterusnya menyatakan betapa kejam dan zalimnya beliau.  Namun mujur tetap ada di pihak kita, justeru sesuatu yang palsu itu sifatnya ialah saling bertentangan dan bercanggahan.  Maka demikian pula dengan cerita ini.  Percanggahan dan pertentangan yang terdapat dalam cerita ini amat ketara sekali sehingga kita berani mengatakan ia tidak mungkin dapat dihilangkan sampai kiamat oleh sesiapa pun.

Pereka-perekanya telah mengemukakannya dalam tiga bentuk.  Pertama secara ringkas, kedua dan ketiga secara terperinci.
Dalam bentuk pertama kisah ini dihubungkan riwayatnya dengan Sa’id bin Masruq.  Beliau menerangkan bahawa ada seorang perempuan (imraah) selalu berulang-alik ke rumah Sayyidina Umar r.a. Bersamanya ada seorang kanak-kanak.  Pada suatu hari Sayyidina Umar bertanya dia, “Anak siapakah bersamamu ini?” Perempuan itu menjawab, “Inilah anak kepada anak tuan, Abu Syahmah.  Dia telah menyetubuhi saya sehingga melahirkan anak ini.”  Sayyidina Umar terus memanggil anaknya Abu Syahmah dan bertanya beliau tentang perkara itu.  Abu Syahmah mengaku.  Lantas Sayyidina Umar memerintahkan Sayyidina Ali supaya menyebat anaknya itu.  Maka Sayyidina Ali menyebatnya sebanyak 50 sebatan, 50 sebatan lagi dilaksanakan oleh Sayyidina Umar sendiri. Kemudian anak itu dibawa ke hadapan Sayyidina Umar dalam keadaan tercungap-cungap seperti akan mati.  Anak itu berkata, “Ayah! Ayah telah membunuh saya.”  Mendengar kata-kata anaknya itu Sayyidina Umar berkata, “Bila engkau bertemu Tuhan, ceritakanlah kepadaNYA bahawa ayahmu telah melaksanakan hudud Allah.”
Sebenarnya kisah ini telah diriwayatkan  dalam berbagai-bagai bentuk.  Masing-masing ahli cerita mewarnainya dengan khayalannya sendiri sehingga sukar untuk dikompromikan di antara satu dengan yang lain.
Walaubagaimanapun sebelum kita mengemukakan cerita ini dalam bentuknya yang lain, terlebih dahulu elok kiranya kita menganalisa dan mengomentari riwayat Sa’id bin Masruq di atas agar dapat dikesan di mana letaknya motif tabarra itu di dalamnya.
Di sana ada beberapa perkara yang dapat ditarik sebagai intisarinya.  Antara lain ialah:
(1)  Ada seorang perempuan (imraah) yang tidak diketahui apa namanya selalu berulang-alik bersama anak kecilnya ke rumah Umar r.a.  Sebelum ditanya oleh Sayyidina Umar perempuan itu tidak pernah menyatakan kepada sesiapa pun tentang anak kecil yang selalu dibawanya itu, anak siapakah dia?
Tentu sekali perempuan itu perempuan yang sudah berkahwin (muhsonah), kerana kalau perempuan itu masih anak dara, tentu masyarakat saling bertanya-tanya tentang anaknya itu sebaik sahaja ia dilahirkan.  Akan tetapi apa yang berlaku tidak begitu.
Keadaan perempuan dalam cerita ini yang membisu seribu bahasa dan membawa ke sana ke mari anaknya itu membuktikan dia juga terlibat dalam maksiat zina, sekiranya perzinaan telah benar-benar berlaku.  Ini bermakna kalau dia seorang anak dara, maka dia perlu disebat sebanyak 100 rotan dan kalau dia sudah berkahwin maka dia perlu direjam sampai mati.  Tetapi kedua-dua bentuk hukuman perzinaan tidak dilaksanakan keatasnya hanya dilaksanakan ke atas Abu Syahmah sahaja.  Seolah-olahnya perawi kisah ini mahu menampilkan kepada manusia kejahilan Sayyidina Umar r.a. dan para sahabat Rasulullah (s.a.w) pada masa itu apabila permasalahan agama yang sekecil itu pun tidak diketahui mereka.  Kejahilan itulah kononnya yang membuatkan mereka terus berdiam diri.
(2)  Jika diandaikan perempuan itu telah dirogol oleh Abu Syahmah, maka kenapa dia tidak mengadukan halnya kepada Sayyidina Umar r.a. sejak awal-awal lagi?  Apakah perkara yang mendorongnya menyembunyikan anak luar nikahnya itu di dalam perutnya selama 9 bulan?  Kemudian setelah melahirkannya dibawanya pula anak haram itu ke sana ke mari?
Siapa sebenarnya perempuan itu?  Apa namanya?  Dari qabilah atau keluarga manakah dia?  Di mana tempat tinggal atau negerinya?  Berbangsa apa?  Semua perkara ini tidak dinyatakan oleh seorang pun perawi kisah ini.  Agaknya dia dari keturunan Yahudi atau Majusi yang menjelma ke alam nyata untuk menyeret Sayyidina Umar r.a. melaksanakan had zina ke atas anaknya!
Pernah seorang sahabat Rasulullah (s.a.w) iaitu Maa’iz al-Aslami r.a. tersasul melakukan perzinaan, kemudian menyesal di atas perbuatannya lalu mengaku di hadapan Rasulullah (s.a.w).  Baginda memalingkan muka. Sampai tiga kali dia mengaku, Rasulullah (s.a.w) tetap memalingkan muka.  Akhirnya Rasulullah (s.a.w) menyatakan kepadanya., “Engkau ini gilakah?” Beliau menjawab, “Tidak.”  Maka Rasulullah (s.a.w) berkata, “Mungkin engkau mendakapnya  sahaja.”  Pendek kata Rasulullah (s.a.w) terus berusaha agar Maa’iz menarik balik pengakuannya.
Dari tindakan Rasulullah (s.a.w) itu dapat diketahui bahawa seboleh-bolehnya usaha supaya tidak terlaksananya had ke atas seseorang perlu dicari.  Justeru itu Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda (bermaksud), “Elakkan dari menjatuhkan hukuman  hudud semampu-mampu kamu.”
Apa yang kelihatan kepada kita dalam kisah ini ialah paksaan dari pihak Sayyidina Umar r.a. supaya anaknya mengaku.  Dan ini jelas bertentangan dengan syariat Islam, selain daripada menunjukkan jahilnya Sayyidina Umar tentang sunnah Rasulullah (s.a.w).
Ringkasnya motif tabarra dalam cerita ini dapat dikesan dengan mudah sekali walaupun ia disembunyikan di balik tabir keadilan Khalifah Agung Rasulullah (s.a.w), Umar bin al-Khattab r.a. Kerana  itulah ulama’-ulama’ yang pakar dalam bidang hadits menghukum riwayat ini sebagai maudhu’ (palsu).  Imam Ibn al-Jauzi berkata, “Hadits ini maudhu.”  Ia telah direka oleh ahli-ahli cerita.  Banyak kekarutan dimasukkan ke dalamnya.  Mereka mengulang-ulanginya dengan panjang lebar.” (Al-Maudhu’aat, jilid 3 ms. 279).
Hafidz Jalaluddin as-Suyuthi pula berkata, “Riwayat ini maudhu’. Ia telah direka oleh ahli-ahli cerita.  Dalam sanadnya terdapat seorang majhul, sementara Said bin Masruq pula adalah salah seorang murid A’masy.  Bagaimana ia bertemu dengan Hamzah?” (Al laali’u al-Masnu’ah jilid 2, ms 194).
Allamah Muhammad Thahir bin Ali al-Hindi berkata, “Kisah Abu Syahmah anak Sayyidina Umar berzina kemudian Umar menjalankan hukuman had ke atasnya dan kematiannya dengan panjang lebar itu tidak benar malah ia telah direka oleh ahli-ahli cerita.” (Tazkiratul al-Maudhu’aat ms. 180)
Kecacatan yang terdapat pada sanad riwayat ini sahaja pun sudah begitu banyak selain daripada yang terdapat pada isi ceritanya.  Di antara yang dapat dikemukakan di sini ialah:
Ada beberapa orang perawinya majhul seperti Muhammad bin ’Ubaid al-Asadi dan Abu Abdillah Hasan bin Ali. Perawinya yang paling atas sekali ialah Said bin Masruq.  Beliau wafat pada tahun 126H, merupakan seorang tabi’i-tabi’in, murid kepada Imam A’masy.  Beliau adalah ayah kepada Imam Sufyan ats-Tsauri. Semasa hayatnya beliau tidak sempat melihat seorang pun sahabat Rasulullah (s.a.w).  Dengan itu dapat diputuskan bahawa perawi di atas dighaibkan.  Riwayat seperti ini dalam istilah ulama’ hadits dikenali dengan munqati’. Jika riwayat ini ditimbang dengan neraca dirayah maka kita dapati Sufyan ats-Tsauri adalah seorang tokoh Ahlus Sunnah yang sentiasa mentajrihkan (mendiskreditkan) perawi-perawi yang tidak muktabar.  Jadi dengan menghubungkan cerita palsu seperti ini kepada ayahnya, sebenarnya golongan Sabaiyyah (pengikut-pengikut Abdulllah bin Saba’) mahu menyejukkan sedikit bahang kepanasan yang membakar hati mereka.
Sekarang marilah pula kita lihat riwayat ini dalam bentuknya yang terperinci.  Riwayat terperinci ini telah dihubungkan kepada Abdullah bin Abbas dan tentu sekali lebih menarik daripada riwayat sebelumnya.  Marilah sama-sama kita membaca dan menikmatinya.
Imam Mujahid menerangkan bahawa pernah pada suatu hari orang ramai berbual-bual dalam majlis Ibnu Abbas.  Secara kebetulan mereka membicarakan tentang keutamaan Sayyidina Abu Bakar r.a.  kemudian menyebutkan keutamaan Sayyidina Umar r.a.  Apabila sahaja Ibnu Abbas mendengar nama Umar disebut, terus beliau menangis sampai pengsan.  Beliau lantas berkata, “Semoga Allah mencucuri  rahmatNya kepada orang yang tidak takut kepada celaan sesiapa pun dalam urusan agama. Semoga Allah mencucuri rahmatNya kepada orang yang mengamalkan apa yang dibacanya daripada al-Quran dan melaksanakan hudud Allah (s.w.t) sebagaimana yang diperintahNya.  Dalam hal ini beliau tidak menghiraukan sesiapa pun baik dari kalangan keluarga atau musuhnya.  Demi Allah!  Umar telah melaksanakan hukum had ke atas anaknya sampai anaknya mati.”
Kemudian Ibnu Abbas menangis, melihatnya menangis orang-orang lain juga turut menangis.  Kami pun berkata, “Wahai sepupu Rasulullah! Ceritakanlah kepada kami peristiwa Sayyidina Umar melaksanakan had ke atas anaknya itu bagaimana beliau melaksanakannya?”  Maka berkatalah Ibnu Abbas, “Oh! Kamu telah mengingatkan aku perkara yang telah pun aku lupa.” Mujahid berkata, “Kerana al-Mustafa, kami meminta engkau dengan bersumpah supaya engkau menceritakan kepada kami peristiwa itu.” 
Ibnu Abbas mula menceritakan dengan berkata,  “Tuan-tuan! Pernah pada suatu hari kami berada di masjid Nabi (s.a.w).  Pada ketika itu Umar juga ada bersama kami.  Di sekeliling beliau orang ramai bersesak-sesak.  Beliau memberikan nasihat kepada mereka selain memutuskan perkara-perkara yang berlaku di antara mereka.  Sekonyong-konyong datang seorang perempuan (jariah) melalui pintu masjid dengan melangkah belakang-belakang tengkuk para Muhajirin dan Ansar sampai ia tercegat di hadapan Umar, lalu memberi salam kepada Umar, “Assalamualaika ya Amiral Mukminin wm wb.”  Umar menjawab, “Waalaikissalam ya Amatallah.  Adakah engkau mempunyai apa-apa hajat?”  Perempuan itu berkata, “Hajat saya yang paling besar ialah dengan tuan sendiri.  Nah! Ambillah anakmu ini daripada saya kerana tuanlah yang lebih berhak terhadapnya daripada saya.”  Terus perempuan  (jariah) itu membuka tudungnya maka kelihatanlah di tangannya seorang bayi yang baru berusia beberapa hari.  Sayyidina Umar melihat perempuan (jariah) itu lalu berkata kepadanya, “Tutuplah tudungmu,” seraya mengucapkan, “Lahaula wala quwwata illa billah.  Awak pun saya tak kenal, bagaimana pula anak ini menjadi anak saya?”  Mendengar kata-kata Sayyidina Umar itu perempuan itu menangis sampai basah kain tudungnya dengan air mata, kemudian barulah dia bersuara, “Wahai Amiral Mukminin! Kalaupun bayi ini bukan anakmu, tidakkah ia tentu anak kepada anakmu?”  Sayyidina Umar bertanya, “Anak kepada anakku yang mana satu?” Perempuan itu berkata, “Abu Syahmah.”  Sayyidina Umar bertanya lagi, “Anak melalui jalan halalkah atau jalan haram?”  Kata perempuan itu, “Dari pihak saya halal dan dari pihaknya haram.”  Sayyidina Umar bertanya “Bagaimana ini boleh berlaku?”  Maka berceritalah perempuan itu, “Wahai Amiral Mukminin!  Dengarlah baik-baik cerita saya ini.  Demi Allah!  Saya tidak akan menokok tambahnya sedikit pun.”  Sayyidina Umar pun berkata, “Takutlah kepada Allah dan ceritakanlah.”  Perempuan itu pun meneruskan ceritanya, “Sebetulnya pada suatu hari saya lalu dekat sebuah kebun Abu an-Najjar.  Tiba-tiba saya terdengar satu tempikan dari belakang. Apabila saya menoleh ke belakang, saya dapati anak tuan, Abu Syahmah sedang terhoyong-hayang kemabukan.  Dia telah meminum arak di sebuah kedai arak kepunyaan seorang Yahudi.  Dia menghampiri saya lalu mengugut dan mengancam saya kemudian menarik saya ke dalam kebun.  Saya terjatuh dan pengsan.  Demi Allah! Saya tidak sedar kecuali setelah dia melakukan terhadap saya apa yang dilakukan oleh seseorang terhadap isterinya. Saya menyembunyikan perkara ini daripada bapa, saudara dan jiran taulan sehingga cukup bulan kandungan saya.  Apabila sudah terasa sakit perut saya kerana akan melahirkan anak, saya pun pergi ke tempat anu dan melahirkan anak ini.   Pada mulanya mahu saya bunuh saja anak ini tetapi kemudian saya menyesal.  Jadi tuan putuskanlah hukum tentang saya dan dia menurut hukum Tuhan.”

Abdullah bin Abbas terus bercerita, katanya, “Sayyidina Umar pun memerintahkan juruhebah menyeru orang ramai supaya berhimpun.  Maka datanglah orang ramai berbondong-bondong ke masjid.  Setelah mereka semua berhimpun, Sayyidina Umar bangun dari tempat duduknya seraya berkata, “Wahai golongan Muhajirin dan Ansar, tuan-tuan jangan meninggalkan tempat ini sehinggalah saya datang membawa berita.”  Langsung beliau keluar dari masjid.   Ketika itu saya (Ibnu Abbas) ada bersamanya, sambil melihat kepada saya beliau berkata, “Marilah pergi bersamaku dengan segera.”  Dengan pantas Sayyidina Umar meluru ke pintu rumahnya dan mengetuknya.  Seorang sahaya perempuan keluar membuka pintu, melihat muka beliau yang menitis kemarahan, dia pun berkata, “Wahai Amiril Mukminin, apahal ini?”  Amiril Mukminin terus bertanya, “Anakku Abu Syahmah ada di dalam?”  Sahaya itu menjawab, “Ada, dia sedang makan.”  Sayyidina Umar masuk ke dalam dan terus berkata kepada anaknya, “Wahai anakku, makanlah!  Mungkin ini adalah bekalmu yang terakhir dari dunia ini.”
Ibnu Abbas berkata, “Saya lihat muka budak (ghulam) itu pucat lesi.  Dia gementar dan makanan terjatuh dari tangannya.”  Lepas itu Sayyidina Umar pun bertanya, “Wahai anakku, siapakah saya ini?”  Abu Syahmah menjawab, “Tuan adalah ayah saya dan Amiril Mukminin.”
Sayyidina Umar:  “Apakah engkau tidak bertanggungjawab mentaati saya?” Abu Syahmah: “Bahkan dua ketaatan perlu saya berikan kepadamu.  Pertama kerana seorang bapa dan kedua kerana seorang Amiril Mukminin.” Sayyidina Umar:  “Demi kerana Nabimu dan kerana ayahmu sesungguhnya aku mahu bertanya engkau satu soalan.  Jawablah dengan betul.” Abu Syahmah:  “Tentu saya akan menjawab dengan betul.” Sayyidina Umar:  “Adakah engkau telah pergi ke kedai arak Yahudi itu sebagai tetamu dan minum arak di sana lalu mabuk.” Abu Syahmah:  “Ya, memang begitu telah berlaku tetapi saya sudah bertaubat.” Sayyidina Umar:  “Memang taubatlah modal paling besar bagi orang-orang yang berdosa, tetapi aku mahu bertanya engkau dengan bersumpah atas nama Allah, adakah pada hari itu engkau telah pergi ke kebun Banu an-Najjar kemudian engkau ternampak seorang perempuan dan terus memperkosanya?” Budak (ghulam) itu diam, tidak berkata apa-apa.  Dia terus menangis dan menampar-nampar mukanya. Sayyidina Umar:  “Cakaplah dengan betul, Allah suka kepada orang-orang yang bercakap benar.” Abu Syahmah:  “Ya, ayah.  Memang saya telah melakukan perbuatan keji itu. Syaitan telah menggoda saya.  Tetapi sekarang saya sudah bertaubat dan menyesal.”            Mendengar jawapan Abu Syahmah itu Sayyidina Umar terus memegang tangannya dan dengan menyentap kolar bajunya,  Sayyidina Umar menyeretnya ke masjid.  Maka berkatalah Abu Syahmah:  “Ayah! Janganlah ayah permalukan saya di hadapan orang ramai.  Ambillah pedang ini dan keratlah tubuh saya sepotong-sepotong.” Sayyidina Umar: “Tidakkah pernah engkau mendengar firman Allah ini bermaksud: “ Dan hendaklah hukuman ke atas mereka berdua (penzina lelaki dan penzina perempuan) disaksikan oleh segolongan orang-orang mukmin?” Setelah itu dibawanya Abu Syahmah ke hadapan para sahabat dan beliau berkata, “Memang benar kata perempuan ini, Abu Syahmah sudah mengaku.”  Di situ ada seorang hamba Sayyidina Umar bernama Aflah.  Sayyidina Umar berkata kepadanya: “Aku ada satu hajat denganmu.  Kalau engkau dapat menyempurnakan hajatku itu maka engkau kumerdekakan kerana Allah.”  Aflah:  “Amiril Mukminin, perintahkanlah saya.” Sayyidina Umar: “Pukullah dia dengan 100 sebatan.  Janganlah ada apa-apa pun kekurangan pada pukulanmu itu.” Aflah:  “Saya tidak dapat melakukannya.”  Aflah terus menangis sambil berkata, “Aduhai kiranya ibuku tidak melahirkan aku untuk menghadapi hari ini di mana aku dibebankan untuk memukul tuanku sendiri.” Sayyidina Umar:  “Taat kepadaku merupakan taat kepada Rasul.  Bukalah bajunya dan laksanakanlah perintahku.”
Ibnu Abbas berkata, “Ketika itu orang ramai pun mula berteriak dan menangis, sedang budak (ghulam) itu menunjuk-nunjukkan jarinya kepada ayahnya sambil berkata, “Ayah, kasihanilah saya.” Sayyidina Umar:  “Semoga Allah mengasihani engkau.” Ketika itu Sayyidina Umar sendiri pun menangis.  Kemudian beliau berkata pula kepada Aflah, “Sebatlah dia.”  Aflah pun melepaskan sebatan pertamanya. Abu Syahmah: “Bismillahirrahmaanirrahim.” Sayyidina Umar:  “Alangkah baiknya nama yang engkau sebutkan itu anakku.” Bila pukulan kedua mengenainya, Abu Syahmah berkata, “Aduh!  Ayah , maafkanlah saya!” Sayyidina Umar: “Sabarlah, seperti engkau melakukan dosa.” Bila pukulan ketiga mengenai Abu Syahmah, terkeluarlah dari mulutnya perkataan  “Al-Aman.” Sayyidina Umar:  “Tuhanmu akan memberikan aman kepadamu.” Bila pukulan keempat mengenainya, Abu Syahmah meraung, “Tolonglah!” Sayyidina Umar:  “Pertolongan diberi ketika kesusahan.” Bila pukulan kelima mengenainya, Abu Syahmah memuji Tuhan. Sayyidina Umar: “Ya! Allah jua yang layak dengan segala puji.” Bila pukulan kesepuluh mengenainya, dia pun berkata, “Ayah! Ayah telah membunuh saya!” Sayyidina Umar:  “Dosamulah yang telah membunuhmu.” Bila pukulan ketiga puluh mengenainya, maka Abu Syahmah  pun berkata , “Demi Allah! Ayah telah membakar hati saya.” Sayyidina Umar: “Kepanasan api neraka lebih lagi daripada ini.” Bila pukulan yang keempat puluh mengenainya maka Abu Syahmah  berkata, “Ayah! Benarkan saya balik ke rumah dengan berjalan di atas muka saya.” Sayyidina Umar:  Bila selesai nanti hukuman ini ke atasmu, maka pergilah ke mana yang engkau suka.” Bila pukulan kelima puluh mengenainya, Abu Syamah berkata, “Demi Quran! Lepaskanlah saya.” Sayyidina Umar: “Kenapa Quran tidak dapat menasihatimu sebelum ini dan kenapa ia tidak dapat mencegahmu?” Sayyidina Umar berkata kepada Aflah, “Wahai hambaku! Pukullah dia.”  Bila Aflah memukulnya buat kali keenam puluh, Abu Syahmah pun berkata, “Wahai ayahku! Tolonglah aku.” Sayyidina Umar:  Anakku! Apabila ahli neraka meminta pertolongan, mereka tidak diberi pertolongan.” Bila pukulan ketujuh puluh mengenainya Abu Syahmah berkata, “Ayah! Berilah saya minum seteguk air.” Sayyidina Umar: “Nanti setelah Allah mensucikan engkau, Muhammad (s.a.w) akan memberi minum kepadamu air yang kamu tidak akan dahaga selepas meminumnya buat selama-lamanya.  Wahai  hambaku (ghulamku) pukullah terus.” Bila pukulan kelapan puluh mengenainya, Abu Syahmah mengucapkan, “Ayah! Assalamu’alaikum.” Sayyidina Umar: “Wa’alaikum salam.  Bila engkau bertemu Muhammad (s.a.w) maka sampaikanlah salamku kepadanya dan katakanlah kepadanya bahawa aku meninggalkan Umar dalam keadaan membaca al-Quran dan melaksanakan hudud Tuhan. Wahai hambaku (ghulamku) pukullah lagi.” Lidah Abu Syahmah terkeluar setelah menerima 90 pukulan, maka berkejaranlah  para sahabat kepada Amiril Mukminin sambil mereka berkata: “Tundakanlah sebatan yang baki lagi itu.” Sayyidina Umar:  “Sebagaimana perlakuan dosa tidak ditunda, begitulah juga hukumannya tidak boleh ditunda.”
Raungan dan teriakannya yang bergema itu sampai juga ke telinga ibu Abu Syahmah.  Ia datang sambil berteriak dan menangis lalu merayu, “Wahai Umar!  Sebagai ganti kepada tiap-tiap pukulan yang baki lagi itu, akan aku mengerjakan haji dengan berjalan kaki dan akan bersedekah sekian banyak.” Sayyidina Umar: “Haji dan sedekah tidak boleh menjadi kaffarah kepada hukuman had. Wahai hambaku (ghulamku), sempurnakanlah pukulan.”
Bila pukulan terakhir mengenai tubuhnya, maka jatuhlah anak itu dalam keadaan  telah mati.  Pada ketika itu , Sayyidina Umar kedengaran berkata, “Wahai anakku! Semoga Allah menghapuskan dosamu.”  Lalu diletakkan kepala Abu Syahmah diribaan ibunya dan beliau menangis tersedu-sedu sambil berkata, “Kutebus ayahku untuk orang yang mati ketika selesai menjalani hukuman had. Kutebus ayahku untuk orang yang ayahnya dan keluarganya tidak mengasihaninya.”
Pada ketika itu orang ramai pun melihat kepada Abu Syahmah.  Didapati mereka dia telah pun mati.  Tidak ada hari yang lebih menyedihkan mereka daripada hari itu. Teriakan dan tangisan mereka bergema memenuhi angkasa.
Setelah  40 hari berlalu peristiwa itu, maka pada suatu pagi hari Jumaat datang Huzaifah bin al-Yaman r.a.  Beliau menceritakan kepada Amiril Mukminin dengan berkata, “Wahai Amiril Mukminin! Malam tadi setelah selesai saya membaca semua wirid-wirid, saya tertidur dan bermimpi bertemu dengan Rasulullah (s.a.w). Bersama Baginda ada seorang anak muda yang memakai sepasang pakaian hijau. Rasulullah pun berkata kepada saya, “Sampaikan salamku kepada Umar. Katakan kepadanya, begitulah Allah menyuruh kamu membaca al-Quran dan melaksanakan hukum had.” Kemudian budak itu pun berkata, “Sampaikan juga salamku kepada ayahku dan katakan juga kepadanya semoga Allah membersihkanmu sebagaimana engkau telah membersihkan saya.”  (Al-Maudhu’aat jilid 3 ms. 269,  Al laali’u al-Masnu’ah, jilid 2, ms. 194-198).
Selepas mengemukakan riwayat ini, Imam Ibnu al-Jauzi memutuskan dengan katanya, “Riwayat ini maudhu’ (palsu) biar melalui sanad dan jalan manapun ia diriwayatkan. Kisah ini telah direka oleh ahli-ahli cerita dengan tujuan membuatkan orang-orang awam dan orang-orang perempuan menangis. Beberapa perkara daripada hasil rekaan fikiran mereka telah dihubungkan kepada Sayyidina Umar dan para sahabat r.a. Perkataan-perkataan dan ayat-ayat yang digunakan di dalam cerita ini begitu lemah dan rapuh sehingga dengan terang menunjukkan kepalsuannya selain daripada menunjukkan juga betapa jahilnya pereka cerita ini kerana tidak mengetahui masalah-masalah fiqh yang biasa.”
Perawi kisah ini mengatakan bahawa Sayyidina Umar meminta anaknya bersumpah supaya mengakui dosa yang dilakukannya. Ini adalah satu perkara biasa yang agak sukar untuk diterima berlakunya daripada seorang seperti Sayyidina Umar, kerana meskipun Maaiz al-Aslami r.a  mengakui telah berzina di hadapan Nabi (s.a.w) namun baginda berpaling daripadanya.  Berkali-kali dia mengakui berkali-kali pula baginda berpaling sehingga akhirnya baginda berkata kepadanya, “Engkau ini sudah gilakah?”  Rasulullah (s.a.w) juga pernah bersabda, “Elakkan daripada melaksanakan hudud seboleh-bolehnya.”  Sayyidina Umar r.a. sendiri pernah berkata kepada seorang yang mengakui dosanya di hadapan Nabi (s.a.w) bahawa, “Kalau Allah telah menutup keaibanmu kenapa pula kamu tidak menutupnya?” Dalam keadaan ini mana mungkin Sayyidina Umar meminta anaknya bersumpah supaya mengakui telah berzina?
Dialog di antara Sayyidina Umar dan anaknya Abu Syahmah pada setiap kali dia dipukul juga merupakan bukti bahawa cerita ini telah diada-adakan oleh orang pasar yang jahil.  Perawi-perawi jahil itu juga menyatakan bahawa sahabat-sahabat Rasulullah (s.a.w) telah menasihati Sayyidina Umar supaya menghentikan hukuman had, begitu juga dengan kata-kata ibu Abu Syahmah bahawa dia akan naik haji dengan berjalan kaki sebagai ganti kepada setiap sebatan ke atas anaknya.  Perkara-perkara yang karut seumpama ini  adalah tersangat jauh akan berlakunya daripada sahabat-sahabat Rasulullah (s.a.w).  Mimpi Huzaifah  juga tidak kurang karutnya. (Al-Maudhu’aat, jilid 3 ms. 274)
Imam as-Suyuthi mengomentari kisah ini dengan mengatakan riwayat ini maudhu’.  Beberapa orang perawinya majhul.  Daraquthi berkata, “Riwayat Mujahid ini tidak sahih.”  (Al  laali’u al-Masnu’ah, jilid 2 ms. 198).
Sebahagian daripada kecacatan yang terdapat dalam riwayat ini telah diisyaratkan oleh Imam Ibnu al-Jauzi dan as-Suyuthi seperti yang telah dikemukakan di atas.  Tetapi di sana masih terdapat banyak lagi kecacatan yang meyakinkan kita  tentang kepalsuan cerita ini.  Di antara yang dapat disebutkan di sini ialah:
(1)  Perawi kisah ini menggunakan perkataan ‘ghulam’ pada beberapa tempat dalam makna-maknanya yang berlainan.  Pada beberapa tempat perkataan ‘ghulam’ dipakai dengan makna ‘hamba’ dan pada beberapa tempat yang lain pula dengan makna ‘budak lelaki’.  Ini menunjukkan dengan jelas bahawa pereka cerita ini adalah orang Persia, yang mana bahasa Arab bukan bahasa ibundanya.  Kerana itulah kadang-kadang ia memakai perkataan ini dengan makna Arab dan kadang-kadang dengan makna Farsi.  Dalam bahasa Farsi perkataan ‘ghulam’ bermakna ‘hamba’ dan ‘khadam’.  Untuk Aflah, perawi menggunakan makna ini di setiap tempat.  Dalam bahasa Arab pula ‘ghulam’ bermakna budak lelaki yang belum baligh (cukup umur). Tentu sekali dengan perkataan ghulam dengan makna hamba tidak boleh digunakan untuk Abu Syahmah.  Jadi bila perkataan ini digunakan untuk Abu Syahmah maka penggunaannya itu mestilah dengan makna Arab yakni ‘budak lelaki’. Tetapi perkataan ghulam pula tidak digunakan untuk menunjukkan semua peringkat budak lelaki, ia menunjukkan hanya kepada budak lelaki yang belum baligh.  Kesimpulannya, cerita ini selain daripada menunjukkan perekanya orang Parsi, ia juga menunjukkan kedangkalannya dalam bahasa Arab. Kalau Abu Syahmah seorang budak lelaki yang belum baligh sebagaimana yang nyata pada penggunaan perkataan ghulam, maka ini bermakna cerita ini telah merobohkan dirinya sendiri.
(2)  Tidak ada seorang pun hamba Sayyidina Umar bernama Aflah.  Yang ada hanya Aslam.  Aflah itu nama seorang muadzin di masjid Nabi (s.a.w).  Sayyidina Umar telah memerintahkannya supaya menjadi muadzin di masjid Nabawi.
(3)  Riwayat pertama yang dikemukakan terdahulu menyatakan perempuan itu selalu berulang-alik ke rumah Sayyidina Umar dengan membawa anaknya dan ini menunjukkan ia seorang perempuan yang sudah berkahwin, bukan gadis sedangkan riwayat ini pula menunjukkan bahawa ia masih gadis.  Sayyidina Umar r.a. tidak mengenalinya.  Barulah di masjid itu kali pertama Sayyidina Umar melihat perempuan itu. Bagaimanapun kedua-dua riwayat sepakat samada kita mengatakan perempuan itu sudah berkahwin atau masih gadis - bahawa kedua-duanya tidak bersungut apa-apa tentang anaknya itu sampai sekian lama.  Ini menunjukkan perbuatan keji itu berlaku dengan kerelaan dirinya.  Oleh itu sepatutnya kedua duanya menerima hukuman had kecuali kalau ia dirogol maka barulah lelaki sahaja yang dihukum.
(4)  Abu Syahmah itu adalah kuniah (nama samaran), bukannya nama sebenar.  Kedua-dua riwayat tidak menjelaskan apakah nama orang yang dikuniahkan dengan Abu Syahmah itu.
(5)  Riwayat pertama menyebutkan bahawa hukuman had telah dijalankan oleh Sayyidina Ali r.a. dan Sayyidina Umar r.a. sedangkan dalam riwayat ini pula yang menjalankannya ialah Aflah, seorang hamba Sayyidina Umar yang tak pernah wujud itu.
(6)  Dalam riwayat pertama tidak disebut langsung tentang arak sedangkan dalam riwayat ini disebutkan arak sebagai punca perbuatan keji itu berlaku.
(7)  Riwayat pertama juga langsung tidak menyebutkan mimpi dan dialog di antara Sayyidina Umar dan anaknya Abu Syahmah begitu juga di sana tidak disebut tentang nazar ibu Abu Syahmah. 
Ini bermakna telah berlaku beberapa penambahan dalam riwayat kedua ini daripada riwayat pertama.  Ia juga menunjukkan bahawa asalnya cerita ini tidaklah sedetail yang tersebut dalam riwayat yang kedua.  Perincian yang terdapat di dalam riwayat kedua, dan begitu juga dalam riwayat-riwayat lain adalah daripada tokok tambah ahli-ahli cerita yang datang kemudian.  Bagaikan mereka mengadu nasib pada cerita ini untuk dihiaskan dengan perhiasan-perhiasan yang dirasakan elok oleh khayalan masing-masing.  Kerana itulah ada di antara mereka mengatakan bahawa Abu Syahmah mati apabila dikenakan ke atasnya sebatan yang ke- 80, bererti 20 sebatan yang terkemudian itu telah dilakukan ke atas mayat Abu Syahmah.
(8)  Sesiapa yang membaca kisah ini akan terasa kepadanya bahawa di zaman pemerintahan Sayyidina Umar, Madinah Rasulullah (s.a.w) adalah sebuah bandar yang tidak asing daripada arak.  Kedai-kedai arak ada di mana-mana sahaja.  Anak-anak sahabat-sahabat agung Rasulullah sendiri pun tidak terpelihara daripada arak yang merupakan punca kepada segala kekejian.  Sesungguhnya ini adalah satu gambaran Khalifah Sayyidina Umar yang sungguh mengecewakan. Tidakkah saksi-saksi sejarah telah mengakui bahawa Khalifah Umar r.a. telah menghalau keluar orang-orang Yahudi daripada Tanah Arab di zaman pemerintahnya? Atau cerita ini juga merupakan salah satu mata rantai usaha-usaha orang-orang Yahudi yang bermaksud menonjol-nonjolkan kekurangan atau keburukan Khalifah Umar yang diadaka-adakan mereka sendiri?
(9)  Perbuatan keji yang dikatakan telah dilakukan oleh Abu Syahmah itu berlaku di dalam sebuah kebun Banu an-Najjar.  Besar sekali kemungkinan bahawa arak itu diminumnya di kawasan yang berhampiran dengannya.  Tetapi tahukah anda di mana terletaknya kawasan Banu an-Najjar itu?  Sesungguhnya kawasan itu adalah kawasan Masjid Nabi (s.a.w) di mana ia merupakan tempat kediaman Banu an-Najjar sebelum mereka menganut Islam.  Kediaman Abu Ayyub al-Ansari juga terletak di kawasan ini.  Di kawasan itu dibangunkan Masjid Nabi bilamana baginda datang ke Madinah.  Kisah ini semacam mahu membuktikan bahawa perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh Abu Syahmah di kawasan yang berhampiran dengan Masjid Nabi.  Perkara seumpama ini hanya boleh dikatakan oleh musuh-musuh ketat Islam dan hanya boleh diterima oleh orang-orang Islam yang buta sejarah atau telah kebas akalnya kerana telah begitu banyak menerima suntikan-suntikan narkotik daripada musuh-musuh Islam.
(10)  Di permulaan riwayat ini dikatakan bahawa Sayyidina Umar mengajak Ibnu Abbas ke rumahnya kemudian Sayyidina Umar masuk ke dalam rumah.  Di sini timbul satu pertanyaan samada Ibnu Abbas turut masuk ke dalam bersama Sayyidina Umar atau tidak.  Kalau dikatakan masuk, tidak mungkin sebab beliau bukan mahram. Bagaimana Sayyidina Umar menerima kemasukannya.  Kalau dikatakan pula bahawa beliau tidak masuk, maka siapa pula yang menceritakan kepadanya segala apa yang berlaku berupa dialog dan sebagainya  di antara Sayyidina Umar dengan anaknya Abu Syahmah?  Dari siapa Ibnu Abbas menerima semua cerita itu?  Adakah sesiapa yang berani tampil ke hadapan untuk menjelaskan perkara ini?
(11)  Seperkara lagi yang terlalu aneh dalam kisah ini iaitu Sayyidina Umar telah menghimpunkan penduduk Madinah di Masjid Nabi (s.a.w) sebelum lagi beliau bertanya anaknya Abu Syahmah.  Seolah-olahnya sudah lama benar beliau mengintai-intai peluang untuk membunuh anaknya.
RIWAYAT VERSI ABDUL QUDDUS
Sebetulnya banyak lagi keaiban dan kecacatan yang terdapat dalam cerita ini selain daripada yang dikemukakan tadi. Tetapi ada lagi seorang manusia yang membawa cerita ini dengan warnanya yang tersendiri iaitu Abdul Quddus.  Dia menukilkan riwayat ini daripada Safwan.  Ada baiknya  kita melihat dahulu ceritanya sebelum kita mengomentarinya dengan lebih lanjut.  Ceritanya berbunyi begini:
Bahawasanya Sayyidina Umar mempunyai dua orang anak lelaki.  Seorang bernama Abdullah dan seorang lagi bernama Ubaidullah.  Ubaidullah inilah yang dipanggil Abu Syahmah.  Perawi menceritakan bahawa Abu Syahmah ini mirip rupanya dengan Rasulullah (s.a.w).  Dia sentiasa asyik membaca al-Quran.  Pernah dia sakit teruk, ketika itu Ummahatul Mukminin  selalu datang menziarahinya.  Pada suatu hari mereka datang melawatnya lalu mereka berkata kepada Sayyidina Umar, “Wahai Umar! Bernazarlah untuk anakmu ini sepertimana pernah Ali r.a. bernazar untuk anak-anaknya Hasan dan Husain.  Allah (s.w.t) telah menyembuhkan mereka berdua.”  Maka bernazarlah Sayyidina Umar bahawa “Kalau anakku Ubaidullah (Abu Syahmah) ini sembuh daripada penyakitnya, aku akan berpuasa selama 3 hari.”  Ibu Abu Syahmah juga bernazar seperti ayahnya Khalifah Umar r.a.  Hasilnya anak itu sembuh.  Selepas sembuh dia pergi ke kedai arak seorang Yahudi dan mabuk setelah meminum nabiz di situ.  Kemudian dia masuk ke kebun Banu an-Najjar. Di situ didapatinya ada seorang perempuan sedang tidur.  Dia terus mendakapnya dan memadamkan api nafsu buasnya yang bernyala-nyala dengan hebatnya. Apabila dia selesai melakukan perbuatan terkutuk itu, perempuan itu menyumpah-nyumpahnya dan mengoyak-rabakkan pakaiannya.  Kemudian perawi terus menceritakan lebih kurang seperti yang telah dikemukakan sebelum ini.
Imam Ibnu al-Jauzi mengomentari cerita ini dengan berkata, “Mula-mula mereka (pereka cerita) mengatakan Abu Syahmah itu rupanya mirip dengan rupa Rasulullah (s.a.w). Kemudian mereka menuduh pula dia merogol perempuan. Perawinya ialah Abu al-Quddus bin al-Hajjaj, seorang pendusta besar.” Ibnu Hibban berkata,  “Mengemukakan riwayat-riwayat darinya sahaja pun tidak halal.”  (Al-Maudhu’aat jilid 3 ms. 275)
Riwayat ketiga ini menunjukkan dengan seterang-terangnya kepada kita hakikat pereka-perekanya.  Siapakah mereka dan apakah sebenarnya motif yang mendorong mereka mencipta cerita-cerita yang seperti ini.  Hasil analisa kita terhadap cerita ini menampilkan beberapa kesimpulan seperti berikut:
(1)  Maksud mereka bukan sekadar melakukan ‘tabarra’ terhadap Sayyidina Umar dan keluarga beliau tetapi juga melalui beberapa perkataan yang terdapat di dalamnya mereka melakukan ‘tabarra’ terhadap Rasulullah (s.a.w) dengan menyerang Baginda dengan serangan yang sangat halus tetapi sangat tajam. 
(2)  Oleh kerana mereka juga tidak percaya kepada al-Quran yang ada ini maka mereka mempersenda-sendakan orang-orang yang membacanya seolah-olah al-Quran yang ada ini tidak membuah apa-apa pekerti yang baik di dalam diri pembaca-pembacanya.  Lihatlah kepada Abu Syahmah yang sentiasa asyik membaca al-Quran.  Apakah hasil yang diperolehinya dari membaca al-Quran itu?  Tidak lain hanyalah perlakuan keji yang telah menyeretnya menerima hukuman had hingga mati.
(3)  Paling mendukacitakan ialah pereka-pereka cerita ini tidak mengetahui bahawa Abu Syahmah bukannya kuniah Ubaidullah.  Sekiranya mereka berkeras mengatakan Abu Syahmah ialah kuniah Ubaidullah maka sikap itu merupakan bukti paling besar tentang  pendustaan mereka.  Sebabnya ialah Ubaidullah bin Umar terus hidup sampai kepada peperangan Siffin dan dalam peperangan itu beliau syahid di pihak Mu’awiyah.  Semua ahli sejarah termasuk ahli sejarah dari kalangan Syi’ah mengatakan apabila Sayyidina Umar terbunuh syahid, maka Ubaidullah terus membunuh Hurmuzan yang dianggapnya bersubahat dalam pembunuhan Khalifah Umar.  Kes pembunuhannya itulah merupakan kes pertama yang dihadapi Sayyidina Utsman setelah beliau dilantik menjadi Khalifah.  Adakah Ubaidullah telah hidup kembali setelah mati menerima hukuman had seperti yang tersebut dalam kisah yang sedang kita bicarakan sekarang?  Atau musuh-musuh Islam itu tidak nampak sesuatu yang lain selain daripada hasrat mereka memburuk-burukkan dan menghina Sayyidina Umar serta keluarganya dan dalam kekalutan mereka memburu hasrat itu, mereka tidak sedar lagi siapa yang telah mati dan siapa pula yang masih hidup?
(4)  Nabiz itu sendiri asalnya bukanlah sesuatu yang haram kecuali kalau ia memabukkan.  Dan ia tidak memabukkan melainkan selepas 3 atau 4 hari.  Kenapakah golongan pereka cerita palsu yang bodoh ini telah menganggap setiap nabiz memabukkan.  Di dalam riwayat yang pertama sebelum ini telah kita lihat bagaimana dengan jelas mereka menuduh Abu Syahmah meminum arak (khamar) sedangkan di sini lain pula ceritanya.
(5)  Riwayat ini membuktikan bahawa wanita yang dengannya Abu Syahmah melakukan perzinaan itu adalah seorang perempuan (imraah) yang memberi erti seorang yang sudah berkahwin.  Soalnya kenapakah perempuan itu menyembunyikan sampai begitu lama perkara yang mencemarkan kehormatannya sehingga melahirkan anak.  Sebenarnya bagi seorang perempuan yang sudah berkahwin melahirkan anak bukan satu perkara pelik.  Apa buktinya anak itu bukan anak suaminya?  Dakwaannya semata-mata tidak boleh dijadikan bukti kerana bukti dan dalil itu adalah sesuatu yang lain daripada dakwaan.  Bahkan kita berpendapat diamnya perempuan itu selama 9 bulan merupakan sebesar-besar bukti kebohongannya. Seperti sama-sama telah kita maklum bahawa kisah ini telah diriwayatkan melalui 3 jalan.  Tetapi tidak disebutkan di dalam mana-mana jalan pun tentang perempuan tersebut.  Orang Arabkah dia atau orang Yahudi?  Atau perempuan itu sengaja dibawa datang dari Parsi untuk menyiapkan cerita ini?
(6)  Lihatlah bagaimana tabarra yang telah mereka lakukan terhadap Nabi (s.a.w) dan al- Quran pada satu tempat di dalam cerita ini dan pada tempat yang lain pula tabarra terhadap Sayyidina Umar dan keluarganya sedangkan pada masa yang sama diajarkan supaya menuruti jejak langkah Sayyidina Ali.
Walaupun begitu mereka tetap bercanggah pendapat yang menunjukkan pula kepalsuan cerita-cerita ini. Ada yang mengatakan hukuman had ke atas Abu Syahmah dijalankan oleh Aflah. Yang lain pula mengatakan ia dijalankan oleh Sayyidina Ali dan Sayyidina Umar. Di antara mereka ada yang mengatakan, “Wanita yang memegang watak penting dalam cerita ini masih gadis (jariah). Ada pula yang mengatakan, “Wanita itu sudah berkahwin (imraah). Ada yang mengatakan Abu Syahmah itu Ubaidullah tetapi ada yang dengan segera membantah, “Mana boleh, kerana Ubaidullah itu terus hidup selepas kematian ayahnya Khalifah Umar dan ikut serta dalam peperangan Siffin di pihak Mu’awiyah.” Justeru itu mereka hanya menyebutkan Abu Syahmah sahaja, tidak berani menyebutkan nama sebenar Abu Syahmah. Begitulah rupanya episod dan kesudahan pembohong-pembohong yang mengarang cerita-cerita bohong. Sampai akhir fikiran mereka bercelaru dan bertentangan di antara satu dengan yang lain.
UMAR MEMUKUL ABDUL RAHMAN
Sebenarnya Abu Syahmah itu bukanlah kuniah Ubaidullah tetapi kuniah Abdul Rahman al-Ausath, iaitu salah seorang anak Sayyidina Umar.  Kisah sebenarnya sejauh yang diterima oleh ulama’-ulama’ pengkaji hadits tidak lebih dari yang disebutkan oleh mereka bahawa pernah Abdul Rahman al-Ausath mengikuti Amar bin al-’Ash r.a. dalam satu angkatan jihad di Mesir.  Pada suatu hari beliau minum nabiz dan kebetulannya beliau mabuk.  Pada pagi keesokannya beliau pergi menemui Amar bin al-’Ash meminta supaya dijalankan had ke atasnya. Akan tetapi Amar bin al-’Ash enggan melaksanakannya justeru beliau tidak mendapati langsung kesan-kesan mabuk padanya dan tidak ada pula saksi yang menyaksikan (selain daripada keyakinannya yang berasaskan pendapat bahawa bukan semua nabiz itu memabukkan dan Abdul Rahman atau Abu Syahmah pula tidak meminumnya dengan kesedaran bahawa nabiz itu sudah memabukkan).  Abdul Rahman pun berkata, “Kalau engkau tidak melaksanakan hukuman had ke atas saya, saya akan mengadukan perkara ini kepada ayah saya.”  Dengan terpaksa Amar bin al-’Ash pun menjalankan hukuman had ke atasnya di dalam khemahnya sampai tidak diketahui oleh sesiapa pun.  Kemudian Sayyidina Umar mendapat tahu perkara ini, beliau menegur Amar bin al-’Ash dengan katanya, “Kenapakah engkau tidak jalankan hukuman itu di hadapan khalayak ramai malah sebaliknya engkau sembunyikan perlaksanaannya?” Tatkala Abdul Rahman pulang ke Madinah berikutan kemenangan yang dicapai oleh orang-orang Islam di Mesir maka Sayyidina Umar memukul Abdul Rahman sebagai ta’dib dan tarbiyah.  Secara kebetulan beberapa hari kemudian Abdul Rahman jatuh sakit dan sakitnya itu rupa-rupanya membawa beliau menemui ajalnya.
Selepas mengemukakan cerita ini, Imam Ibnu al-Jauzi dan as-Suyuthi menulis bahawa, “Sekadar inilah asalnya cerita ini tetapi ahli-ahli cerita telah menokok tambahnya sehingga menjadi satu cerita yang tersendiri pula.” (Al-Maudhu’aat jilid 3 ms. 275, Al laali’ u al-Masnu’ah jilid 2 ms. 198)

KESIMPULAN
Walaubagaimanapun agaknya kita telah sama-sama dapat menyimpulkan daripada pembentangan kisah-kisah ini melalui ketiga-tiga jalannya bahawa merekacipta cerita-cerita seumpama ini merupakan permainan dan pekerjaan orang-orang Majusi dan Yahudi yang menaruh dendam kesumat dan kebencian  yang tiada terperi terhadap Sayyidina Umar yang bertanggungjawab menjatuhkan kedua-dua empayar mereka.
Kelainan yang terdapat pada cerita-cerita tersebut adalah hasil kecekapan mereka dalam persembahan silap mata mereka semata-mata.  Walaupun motif kesemuanya adalah sama iaitu ‘tabarra’ terhadap musuh dan ‘tawalla’ kepada orang yang didakwa disayangi seperti Sayyidina Ali dan lain-lain.

5 ulasan:

  1. SYUKRAN..pengisian yang baik..sgt banyak manfaat d peroleh..

    BalasPadam
  2. terimakasih, sngat bermamfaat
    sngat bnyak versi cerita yg membingungkan yg udah terlanjur tersebar di masyarakat,

    BalasPadam
  3. Terima kasih dengan ulasannya yang panjang lebar....
    Semoga Saidiana Umar bersih dari hal2 yang demikian....

    Salam kasih,
    www.blogmunapsaid.com

    BalasPadam

Asma'ul Husna

asma ul husna