salam

Sabtu, 5 Jun 2010

Disebalik Pembukaan Istanbul



Pembukaan Istanbul
Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “Konstantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
29 Mei 2010, genaplah 557 tahun kemenangan Islam di kubu pertahanan terkebal dunia, Konstantinopel di Turki. 29 Mei setiap tahun seharusnya dijadikan bukan sekadar hari memperingati kejayaan Sultan Muhammad bin Murad membuka Konstantinopel sehingga menebalkan lagi sindrom ‘hero worshipping’ umat Islam, tetapi lebih penting dari itu ia adalah hari untuk gerakan Islam melakukan muhasabah ke atas soal pemerkasaan organisasi khususnya dalam aspek produktiviti (pencapaian visi) dan kompetensi ahli-ahlinya. Juga sejauhmana agenda ‘sharpen the saw’ organisasi dengan peneluran idea-idea segar dan ‘out of the box’ diraikan mahupun dilaksanakan dengan tujuan agar gerakan Islam terus berpengaruh di dunia.

Kemenangan menjejakkan keadilan Islam di Haghia Sofia oleh Muhammad Al-Fateh perlu dianalisa dengan pembacaan yang lebih meluas sumbernya dan analisa yang lebih tersirat sifatnya dari fakta yang tersurat, jika benar mahu membongkar hikmah dan mukjizat hadis pujian Nabi kepada baginda dan pasukan baginda. Proses pengepungan yang memakan masa hampir 2 bulan hakikatnya suatu proses yang sangat sukar, mustahil dan hampir-hampir sejarah sedang bersedia saat itu untuk menguburkan sebagai percubaan ke 12 tentera Islam yang gagal selepas 800 tahun Nabi mensabdakannya.

Misi menyebarkan keadilan kerajaan Islam Usmaniah di Konstantinopel bukan sahaja dihalang oleh kesombongan Maharaja Constantine XI dan 40,000 orang komando Byzantine, tetapi juga oleh dua benteng kebal yang mencapai ketebalan 10-15 meter, parit besar sedalam 10 meter, 3 perairan laut, 7 anak bukit dan 3 rantai gergasi memagari Tanduk Emas dari dijejaki kapal-kapal Usmaniah.

Maharaja Constantine XI

Peristiwa penawanan Konstantinopel oleh sepasukan manusia biasa berajakan seorang yang tidak pun berketurunan Nabi dan bukan pula berbangsa Arab, ditambah pula dengan usia remaja yang mungkin terlalu sangat mentah bagi kebanyakan orang, hakikatnya menyerlahkan kombinasi ampuh persiapan ilmu dan teknologi (IQ), persiapan moral dan emosional tentera (EQ) dan persiapan kerohanian (SQ) terbaik pernah ditonjolkan oleh tentera Islam yang tidak berada dalam lingkaran 300 kurun yang terbaik.


Misi mengibarkan panji Islam di atas tembok Konstantinopel pada 1453 Masihi tersebut ternyata tidak memadai dengan semata doa munajat dan keimanan yang kental pada hadis penawanan Konstantinopel andaikata tiada teknologi membabitkan 4 meriam gergasi Urban dan serangan mortar – pertama kali dalam sejarah - untuk memecahkan benteng kebanggaan empayar Byzantine.


Meriam Gergasi Urban
Keseimbangan pendidikan ilmu ‘intelectual sciences’ dan ‘spiritual sciences’ sebagaimana direkodkan Taskopruluzade Ahmed, penguasaan 7 bahasa kawan dan lawan Usmaniah, pemilihan bulan dan tahun kempen pengepungan pada masa paling meresahkan moral pemerintah dan kepercayaan rakyat Byzantine, penggunaan teknologi (meriam gergasi) dan kepakaran musuh tradisi Usmaniah sendiri iaitu Hungary, hakikatnya belum memadai juga tanpa didikan kerohanian yang ketat ke atas Sultan Muhammad sehingga baginda tidak pernah meninggalkan tahajjud sejak dari aqil baligh. Manakala idea ‘brilliant’ sebagaimana diakui oleh sejarawan dunia seperti Runciman, Babinger dan Schumberger iaitu pemindahan 70 buah kapal dari semenanjung Fera di Bhosporus ke Golden Horn melalui jalan bukit sejauh 5 kilometer - dalam masa hanya satu malam tanpa disedari musuh - takkan mampu dilakukan tanpa ketinggian emosi Zugnush Basha ketika mempertahan keputusan meneruskan serangan dan semangat kental 200,000 orang tentera di fasa akhir serangan.

Syekh Dr Ali Muhammad As-Shollabi dalam bukunya “Ad-Daulah Al-Uthmaniyyah : ‘Awâmil al-Nuhoodh wa Asbâb al-Suqooth” merakamkan peristiwa tersebut denga menyebut: “Keadaan tanah ketika itu tidaklah mudah untuk dilayarkan kapal, tetapi perencanaan itu mesti tetap diteruskan segera. Lantas tentera Usmaniah meratakan tanah dalam hanya beberapa jam, dan dibawakan lembaran-lembaran kayu yang telah disapu dengan minyak dan lemak, dan kemudian disediakan sebuah laluan jalan yang besar untuk memudahkan pergerakan kapal-kapal, dan sesungguhnya peristiwa ini benar-benar luarbiasa andaikata diambilkira keadaan zaman itu dengan teknologi yang telah digunakan jauh mendahului zaman, ini jelas menunjukkan kepantasan berfikir Sultan Muhammad dan kepantasan pelaksanaan tenteranya.”

Sejarahwan Byzantine ketika memberi komen mengenai strategi ini telah mengatakan:

"Tidaklah kami pernah melihat ataupun mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad al-Fateh seudah menukar daratan menjadi lautan. Sesungguhnya Muhammad al-Fateh dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!"

Strategi Sultan Muhammad al-Fateh ini sebenarnya mengulangi sejarah gemilang para panglima Islam terdahulu seperti Tariq Bin Ziyad dengan strategi membakar kapal yang membawa tentera Islam ke Andalusia,Khalid al-Walid dengan strategi yang mengelirukan musuh dengan menukar kedudukan tenteranya supaya pihak lawan menyangka tentera bantuan telah sampai dalam satu hari. Manakala panglima Jaafar Bin Abi Talib telah membunuh kudanya sendiri supaya pihak musuh tidak dapat menggunakan kuda itu andaikata kuda itu jatuh ke pihak musuh. Salman al-Farisi dengan strategi menggali parit disekeliling kota Madinah semasa Perang Khandaq. Junjungan Besar kita sendiri Nabi Muhammad S.A.W dengan strategi membakar unggun api yang banyak supaya Kaum Musyrikin Mekah gentar untuk berhadapan dengan tentera Islam yang ramai. Banyak lagi strategi perang para panglima Islam yang mendahului zaman yang telah membuahkan hasil dalam peperangan.

Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan ke dunia sebagai seorang anak yang sangat nakal dan pemuda diraja yang panas baran serta gopoh membuat keputusan. Namun demikian, sebagaimana diakui sejarawan Turki, Halil Inalchik, kuasa tarbiyah (“medresse”) dan usrah dengan para ulama terbaik Usmaniah sejak dari kecil sehinggalah menjadi ahli politik Usmaniah paling sibuk sekalipun, itulah yang telah mengubah beliau menjadi pemimpin agung Islam yang telah melorongkan jalan kepada Sulaiman Al-Qanuni dan pemimpin terkemudian Usmaniah memerintah dua pertiga dunia suatu ketika dahulu. Sarjana Usmaniah dan bekas pensyarah UIAM, Profesor Mehmet Maksudoglu dalam bukunya “Osmanli History 1289 – 1922” pernah merakamkan keadilan pemerintahan Usmaniah sejak dari zaman Muhammad Al-Fateh melalui kenyataan dua bekas pendeta Kristian Ortodoks pada masa itu iaitu Granduke Notaras dan Gennadios. Mereka pernah menyebut pada 1453 Masihi itu bahawa “Kami lebih rela melihat serban-serban Turki daripada topi-topi paderi Latin dari Eropah di kota ini”.

Demikianlah kombinasi persediaan syariatullah dan sunnatullah, jawapan terbaik sejarah yang gagal dibaca oleh mereka yang tidak berminat untuk menjadikan sejarah sebagai pedoman menuju kejayaan organisasi di masa depan dan kemenangan Islam sekaligus. Profesor Ilber Ortayli dalam “Discovering The Ottoman” pernah menyebut: “Ketika anda menyaksikan tanah kasar Ioannina, Shkoder and Bosnia, anda pasti akan benar-benar mengetahui betapa dahsyatnya ketelitian dan kecanggihan strategi ketenteraan dan usaha diplomatik Sultan Muhammad untuk membuka Balkan. Sesungguhnya penaklukan Balkan antara 1461 dan 1463, penaklukan Balkan dilakukan dengan cara yang sama dengan cara menawan Konstantinopel!”


Sesungguhnya kisah-kisah sejarah di atas akan terus menjadi subjek yang membosankan mahasiswa atau fakta-fakta yang akan terus memberatkan minda aktivis mahasiswa Islam andaikata gesaan 'ulil albab' (ketajaman fikiran) surah Yusuf ayat 111 tidak dipedulikan. Ibnu Khaldun sudah lama mengingatkan kita bahawa sejarah memang akan berulang, beruntunglah mereka yang meneladani sunnatullah yang baik serta binasalah mereka yang memilih untuk mengulangi sunnahtullah yang hitam.

Penulis terkenal Inggeris, Aldous Leonard Huxley pernah menyebutkan bahawa: “That men do not learn very much from the lessons of history is the most important of all the lessons that history has to teach. Experience is not what happens to you. It is what you do with what happens to you.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Asma'ul Husna

asma ul husna