
Kelmarin apabila membaca surat khabar Mingguan Malaysia (Pancaindera), saya tertarik dengan pendapat Wardina yang mengatakan bahawa golongan artis bukanlah ikon msyarakat. Bahkan beliau melahirkan rasa bimbang dengan fenomena hiburan yang terlalu banyak sekarang. Memang tidak dapat dinafikan bahawa golongan muda hari ini sangat terpengaruh dengan para artis. Media pula memberi ruang yang cukup luas kepada artis-artis untuk memperagakan nyanyian, lakonan dan muzik mereka sama ada di media cetak mahupun media elektronik. Sedangkan untuk menjadi bangsa yang berjaya sepatutnya masyarakat khususnya generasi muda menjadikan golongan ahli ilmu sebagai ikon dan idola. Iaitulah golongan cendiakawan, intelektual dan intelegensia sama ada mereka itu dalam kelompok ahli akademik, sasterawan, budayawan, saintis, penulis dan juga alim-ulama . Mereka ini kaya dengan ilmu pengetahuan dan idealisme. Tokoh seperti Ungku Aziz,Usman Awang, Naquib al-Attas, Dr. Danial Zainal Abidin,Prof. Kamal Hasan bahkan Tuan-tuan Guru di pondok-pondok, yang seperti mereka inilah yang sepatutnya diangkat sebagai idola dan ikon masyarakat khususnya golongan muda. Tetapi sekarang Faizal Tahir, Ning Baizura, Awie, Jamal Abdillah, Salim bahkan lawak merapu Senario yang menjadi kegilaan dan kesukaan golongan remaja. Inilah masalah kita sekarang. Kita jadikan orang yang salah sebagai ikutan dan contoh teladan kepada kita. Mungkin kebimbangan ini turut dirasai oleh Wardina sehingga dia secara terbuka menyatakan bahawa artis bukan ikon masyarakat. Sila ikuti sebahagian daripada pendapatnya di bawah: