“Teks, dan manusia. Dua saluran untuk memahami” itu yang saya pegang.
Setelah meluangkan masa memahami kehidupan pada teks-teks agama sebagai panduan, tiba masanya kita terjun ke alam pekerjaan.
Bekerja bukan hanya bekerja. Tetapi bekerja untuk membina jambatan antara agama dan manusia.
Subhanallah, datang dari sekolah agama yang semuanya Melayu dan Muslim, kemudian bermastautin di Jordan yang semuanya Arab dan Muslim, manusia di sepanjang hidup saya itu bersifat monotonous. Ia tidak menggambarkan cabaran rencam yang menanti kehidupan di hadapan. Islam yang saya belajar, wahyu pertamanya turun di Tanah Arab, namun cabaran semasa yang menanti di hadapan adalah warna warni Empayar Rom dan Parsi.
Itu menungan saya di tingkap. Saya sudah berada di Eropah. Namun saya jahil untuk memahami manusia dan pemikirannya. Kejahilan yang menjadikan kita sukar untuk memahami mad’u di Eropah sendiri, malah turut mencabar upaya saya untuk memahami pemikiran apa yang sedang membentuk minda anak watan di tanah air.
Itu tidak bagus.
Saya yakin ‘Barat’ lebih berkasar dengan Sayyid Qutb berbanding Hasan al-Banna sendiri selaku pengasas al-Ikhwan al-Muslimun, antara puncanya adalah kerana pengetahuan mendalam Sayyid Qutb tentang Barat. Tafsir Fi Dhilal al-Quran itu sendiri merupakan kritikan langsung Sayyid Qutb kepada gagasan idea Eropah yang menyelinap masuk ke kepercayaan, pandangan hidup dan sistem nilai umat Islam semasa.
Saya tidak boleh terus jahil tentang Eropah. Tentang Barat.